Jaga imej UMNO pada pandangan mata rakyat

Politik

PERMATANG PAUH : Ahli UMNO khususnya dinasihatkan untuk menjaga imej parti itu agar ia sentiasa kelihatan baik pada pandangan mata rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, hal ini demikian kerana, rakyat terutamanya generasi muda inginkan sebuah parti yang benar-benar dilihat baik serta mampu memberikan tawaran terbaik untuk masa depan mereka.

“Ini yang perlu kita lakukan (menjaga imej parti). Justeru, kesempatan yang ada ini (mesyuarat perwakilan) harus digunakan oleh pimpinan UMNO bahagian dengan sebaiknya untuk mendapat pandangan-pandangan ‘akar umbi’ mengenai bagaimana caranya UMNO boleh terus menjadi parti yang terbaik.

“Saya percaya, jika imej kita baik, kita akan dapat sokongan daripada orang muda dan orang Melayu itu sendiri. Ini seterusnya boleh membantu UMNO untuk kembali menjadi parti dominan dalam negara selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Permatang Pauh yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, satu majlis tahlil diadakan sebelum mesyuarat bermula bagi memperingati pemergian Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Norazamuddin Ahmad, 56, yang meninggal dunia di Mekah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, adalah penting untuk UMNO kembali menjadi parti dominan di negara ini seperti yang dinyatakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Dalam hal ini katanya, dominan yang dimaksudkan bukan hanya menjadi parti dominan dalam menentukan hala tuju politik negara, malah, harus dominan dalam mendapatkan sokongan majoriti orang Melayu.

Beliau berkata, ini sangat penting kerana UMNO kebiasaannya akan bertanding di kawasan yang majoritinya dihuni oleh pengundi Melayu.

“Pada masa yang sama, kita (UMNO) juga akan terus kekal menjadi parti yang menjaga kepentingan kaum-kaum lain dalam negara ini.

“Maknanya, kita mesti mendapatkan sokongan orang Melayu tanpa kita ketepikan sokongan daripada kaum-kaum lain,” ujar Shamsul Anuar.-UTUSAN