KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim mengejutkan kem olahraga tanah air apabila menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Olahraga Malaysia (MA) pada saat akhir.
Turut menarik diri ialah Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh sekali gus membuka ruang kepada saingan dua penjuru antara Datuk Mark William Ling dan Datuk Karim Ibrahim.
“Saya menarik diri sebab dalam perancangan Insya-ALLAH saya dijangka boleh menang. Tiada masalah. Jadi saya beri laluan kepada sahabat saya, Karim untuk bertanding.
“Kalau nak serah, biarlah serah dalam keadaan menang. Pengorbanan dalam waktu kemenangan. Saya harap kemenangan itu boleh dipindahkan kepada orang lain,” kata Shahidan kepada pemberita di Wisma MOM, hari ini.
Bekas Menteri Persekutuan itu menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan penuh keinsafan dan berjiwa besar demi masa depan sukan negara.
“Saya harap perwakilan dapat terima hakikat itu,” tambahnya.
Shahidan turut menjelaskan bahawa beliau mahu memberi fokus kepada dua keutamaan — politik dan sukan renang, yang turut berada di bawah jagaannya.
“Secara peribadi, saya kena ingat pilihan raya pun sudah dekat. Jadi saya nak beri perhatian kepada satu pertubuhan sukan sahaja. Sekarang saya pegang dua,” katanya.
Mengakui sudah terlalu lama menyandang pelbagai jawatan dalam arena sukan, beliau nekad memberi ruang kepada wajah baharu.
Walaupun ramai terkejut dengan keputusan itu, Shahidan mendedahkan ia bukanlah keputusan yang dibuat secara semberono.
“Saya antara orang yang banyak pegang jawatan sukan. Jadi kali ni kita beri peluang kepada kawan-kawan bawa perubahan.
“Sudah banyak hari sebenarnya. Apa yang penting ialah sukan mesti terus bergerak ke depan,” katanya. – UTUSAN