Karim kembali terajui Olahraga Malaysia

Sukan

KUALA LUMPUR: Datuk Karim Ibrahim kembali menerajui Olahraga Malaysia (MA) bagi penggal 2025-2028 selepas menang dalam saingan dua penjuru pemilihan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, hari ini.

Beliau memperoleh 25 undi untuk menewaskan pencabarnya, Datuk Mark William Ling yang meraih 14 undi daripada keseluruhan 39 perwakilan yang hadir.

Pemilihan kali ini menyaksikan perubahan besar dalam pentadbiran apabila Datuk Wan Hisham Wan Salleh pula terpilih sebagai Timbalan Presiden selepas meraih 22 undi.

Jawatan Naib Presiden pula menjadi rebutan sengit tujuh calon lelaki, namun hanya tiga terpilih iaitu Prof. Dr. Mohamed Rusli Abdullah (29 undi), Datuk R. Annamalai (24 undi) dan Padmanathan Nagappan (22 undi).

Karim yang pernah memimpin MA 2014-2019 sebelum ini berikrar untuk mengangkat semula imej badan induk itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan untuk kembali menerajui Olahraga Malaysia bagi penggal 2025 hingga 2028.

“Saya juga mohon secara jujur agar segala kata-kata buruk semasa kempen dapat ditepikan dan kita semua bersatu demi masa depan olahraga,” kata Karim kepada pemberita selepas AGM MA di Wisma MOM, hari ini.

Dalam pada itu, Karim turut menegaskan komitmen untuk mengaktifkan semula program pembangunan bakat dan memacu hala tuju lebih saintifik dalam penyediaan atlet berprestasi tinggi.

“Kita harus bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membawa olahraga Malaysia ke tahap lebih membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Josephine Kang pula dipilih sebagai naib presiden bagi kerusi wanita.

Terdahulu, mantan presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Olahraga Malaysia (MA) pada saat akhir sebelum proses pemilihan bermula. – UTUSAN