Speedy Tigers cemas sebelum ikat Pakistan

Sukan

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan terpaksa beraksi dengan penuh debaran sebelum berjaya memastikan satu mata berharga menjadi milik pasukan selepas seri 3-3 menentang Pakistan dalam aksi sulung Kumpulan B Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bagaimanapun skuad kendalian Sarjit Singh bermula dengan perlahan apabila menyaksikan Pakistan berjaya mendapatkan dua gol awal pada suku pertama.

Dalam aksi tersebut, Pakistan tidak menunggu lama untuk menembusi gawang tuan rumah menerusi jaringan Ahmad Nadeem pada minit keenam apabila pantas menyambar masuk hantaran daripada Sufyan Khan.

Skuad kendalian Tahir Zaman terus menghukum Speedy Tigers apabila giliran Abdul Rehman meledak gol kedua tiga minit kemudian berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Usaha Speedy Tigers untuk menembusi gawang lawan akhirnya membuahkan hasil apabila Fitri Saari berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-49 menerusi gol padang selepas berlaku situasi kelam-kabut di pintu gol Pakistan.

PEMAIN skuad hoki kebangsaan meraikan kejayaan mereka meledak gol penyamaan mengikat Pakistan 3-3 dalam aksi Kumpulan B Piala Negara-Negara di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Bagaimanapun, kelebihan tersebut tidak tahan lama apabila selang dua minit kemudian, Pakistan kembali di depan hasil gol padang Abdul Waheed Ashraf Rana.

Ketika Speedy Tigers berada di ambang kekalahan, Syed Syafiq menyelamatkan maruah negara apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti ketika permainan berbaki empat minit menuju tamat.

Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kedua berkongsi satu mata dengan Pakistan di tempat ketiga manakala New Zealand mendahului kumpulan dengan tiga mata selepas menewaskan Jepun 2-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan B. – UTUSAN