PSG benam Atletico, Bayern belasah Auckland

Sukan

LOS ANGELES: Paris Saint-Germain (PSG) memberi isyarat awal terhadap penguasaan mereka dalam Piala Dunia Kelab, manakala Bayern Munich langsung tidak menunjukkan belas kasihan pabila membelasah pasukan amatur dari Auckland dengan kemenangan besar 10-0.

Hari pertama kejohanan edisi sulung melibatkan 32 pasukan kelab menyaksikan juara Eropah yang baru dinobatkan, PSG, mempamerkan aksi cemerlang dengan kemenangan 4-0 ke atas Atletico Madrid, selepas kemenangan bergaya Bayern terhadap Auckland City.

Pasukan kecil dari New Zealand itu menjadi antara kisah dongeng ‘Cinderella’ dalam kejohanan ini, terdiri daripada pemain amatur yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk ke Amerika Syarikat (AS).

Namun begitu, gergasi Bundesliga, Bayern langsung tidak memberi muka kepada pasukan dari rantau Oceania itu dan mengganas di Cincinnati.

“Kita perlu kekal merendah diri tetapi yang penting kita ambil perlawanan ini dengan serius. Ia satu permulaan yang baik dalam kejohanan ini, tetapi cabaran selepas ini pasti lebih sukar,” kata jurulatih Bayern, Vincent Kompany.

Sementara Bayern berpuas hati dengan kemenangan klinikal mereka, PSG pula menghantar mesej jelas apabila juara Perancis itu tidak terganggu dengan cuaca panas terik dan mempamerkan corak permainan menyerang yang telah menjadi identiti mereka sepanjang kejayaan di Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Fabian Ruiz dan Vitinha memberikan PSG kelebihan 2-0 di separuh masa pertama sebelum Senny Mayulu dan Lee Kang-In melengkapkan kemenangan mengagumkan dalam perlawanan Kumpulan B.

“Kami ada objektif untuk cipta sejarah musim ini, tetapi ini adalah bab baru. Ia satu cabaran menarik buat pemain dan pasukan untuk terus menang.

“Kelab ini lapar, penyokong lapar, pemain dan pasukan juga lapar, dan itu satu petanda yang baik. Matlamat kami sama seperti kejohanan lain, mara sejauh mungkin dan cuba menang,” kata Luis Enrique selepas perlawanan. – AFP