Spaun bangkit juarai Terbuka AS, Ciganda tamat kemarau

Sukan

OAKMONT: J.J. Spaun melakar kejutan dramatik di lubang terakhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila merangkul kejuaraan utama sulungnya dengan pukulan birdie sejauh 65 kaki meskipun bergelut teruk pada permulaan pusingan akhir.

Spaun, 34, menamatkan 72 lubang di padang legenda Oakmont dengan catatan satu bawah par 279, dua pukulan mengatasi pencabar dari Scotland, Robert MacIntyre manakala Viktor Hovland dari Norway di tempat ketiga.

“Saya tak pernah bayangkan akan memegang trofi ini. Saya bangga dengan ketabahan yang saya tunjukkan sepanjang kerjaya,” kata Spaun.

Bermula dengan lima bogey dalam enam lubang pertama, Spaun bangkit cemerlang dengan empat birdie dalam tujuh lubang terakhir sambil menyaksikan pencabar utama seperti Sam Burns dan Adam Scott kecundang di saat genting.

“Saya pun tak pasti bagaimana saya kekal tenang. Saya cuma cuba gali kekuatan dan pukul sebaik mungkin,” katanya.

Spaun turut mencipta sejarah selaku juara Terbuka AS pertama yang bogey tiga lubang awal dalam pusingan akhir, namun birdie penting di lubang 17 dan 18 memastikan gelaran miliknya bersama hadiah wang tunai AS$4.3 juta (RM18.2 juta).

CARLOTA Ciganda bergambar dengan trofi selepas memenangi Meijer LPGA Classic untuk Simply Give 2025 di Kelab Golf Blythefield, Michigan. – AFP

Sementara itu dalam saingan wanita di Michigan, pemain Sepanyol Carlota Ciganda menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan setengah tahun apabila memenangi Kejohanan Meijer LPGA selepas mencatat 67 pukulan pada pusingan akhir.

“Saya dah lama impikan kemenangan di AS. Bersaing dengan ramai pemain hebat dan menang, ia sangat istimewa,” kata Ciganda. – AGENSI