Piastri terima permohonan maaf Norris

Sukan

MONTREAL: Pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri menerima permohonan maaf daripada rakan sepasukan McLaren, Lando Norris yang melakukan kesilapan ketika cuba memotong dan melanggarnya pada pusingan akhir di Grand Prix (GP) Kanada semalam.

Perlanggaran berlaku pada pusingan ke-67 daripada 70, apabila Norris cuba memotong Piastri yang juga pencabar kejuaraan di laluan lurus, namun memaksa serangan ke ruang yang semakin sempit dan melanggar bahagian belakang kereta rakannya itu sehingga menyebabkan sayap depan keretanya musnah.

Piastri meneruskan perlumbaan dan menamatkan di tempat keempat, manakala Norris terpaksa menarik diri dan itu merupakan kali pertama McLaren gagal menaiki menaiki podium pada musim ini.

Pemandu Mercedes, George Russell memenangi perlumbaan dari petak pertama, mengatasi juara dunia empat kali Max Verstappen dari Red Bull, manakala pelumba remaja, Kimi Antonelli menduduki tempat ketiga untuk Mercedes, sekali gus menjadi pelumba ketiga termuda dalam sejarah menaiki podium Formula 1 (F1).

“Ia bukan sesuatu yang ideal buat sesiapa pun. Saya belum melihat insiden itu, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, tetapi jika Lando sudah mengakui kesilapan sepenuhnya, maka begitulah keadaannya.

“Perlumbaan ini secara keseluruhan agak sukar dan pengakhiran yang kurang memuaskan. Saya belum melihat semula insiden itu, tetapi saya tidak fikir ada niat buruk. Saya rasa ia hanya satu kejadian yang malang,” kata Piastri.

Namun, Piastri berjaya menambah kelebihan mata dalam kejuaraan pemandu dengan 198 mata, mengatasi Norris dan Verstappen yang kini masing-masing mempunyai 176 dan 155 mata. Russell pula berada di tempat keempat dengan 136 mata.

“Ya, saya minta maaf. Semua salah saya, sepenuhnya kesilapan saya. Malang, maaf. Tindakan bodoh daripada saya,” kata Norris mengenai kemalangan tersebut. – AFP