Syamsul Saad ketua jurulatih Perak FA hadapi Liga A1

Sukan

IPOH: Bekas pemain Perak, Syamsul Saad menjadi ketua jurulatih pasukan Perak FA untuk menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim akan datang.

Beliau yang pernah menjadi jurulatih skuad utama Perak pada tahun 2016, kini mengendalikan latihan pasukan Seladang dengan bantuan seorang lagi bekas pemain negeri itu, Shahrulnizam Mustapa.

“Para pemain Perak FA kini giat menjalani sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini, dengan semangat dan disiplin yang tinggi.

“Latihan dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Syamsul Saad, dibantu oleh Penolong Jurulatih, Shahrulnizam Mustapa serta Jurulatih Penjaga Gol, Azlen Jabri yang terus memberi fokus kepada aspek taktikal, intensiti permainan dan keserasian pasukan,” menurut pasukan itu hari ini.

Syamsul anak kelahiran Taiping turut pernah menjadi jurulatih Perlis pada tahun 2017 dan Kelantan United tahun 2022.

Pada awal bulan ini, Persatuan Bola Sepak Perak (Perak FA) mengesahkan penyertaannya di dalam liga semi-pro itu yang dilihat oleh penyokong sebagai pengganti Perak FC setelah menarik diri daripada saingan Liga Super akibat tekanan kewangan.

Keputusan Perak FA itu diumumkan oleh Presidennya, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin selepas mengadakan pertemuan dan mendapat ‘restu’ daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fokus pasukan itu turut tertumpu kepada pertandingan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad menyambut baik langkah PAFA menggunakan majoriti pemain pasukan Sukma negeri untuk menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro.

“Penyertaan dalam perlawanan kompetitif seperti Liga A1 yang turut disertai pemain berpengalaman termasuk bekas pemain Liga Super, dapat membantu pemain Sukma Perak mempertingkat prestasi.

“Dari sudut MSN Perak, usaha yang digerakkan oleh PAFA ini memberi kelebihan besar dalam mempersiapkan pasukan SUKMA yang lebih mantap,” katanya ketika ditemui dalam pertandingan bola sepak bawah umur di Ipoh semalam. – UTUSAN