Semakan semula tarif Pelabuhan Klang kompetitif

Perniagaan

PETALING JAYA: Peningkatan berperingkat caj pengendalian kontena Pelabuhan Klang sebaik sahaja dilaksanakan sepenuhnya pada 2027 masih kompetitif dan lebih rendah daripada pelabuhan ASEAN lain antara lima hingga 185 peratus. 

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Kapten K. Subramaniam berkata, dalam semakan tarif terkini Pelabuhan Klang, satu langkah penanda aras komprehensif telah dijalankan terhadap pelabuhan jiran dan serantau.

“Walaupun dengan semakan ini, kadar tarif Pelabuhan Klang akan kekal antara yang paling kompetitif di rantau ini.

“Daya saing kos keseluruhan mengukuhkan kedudukan strategik Pelabuhan Klang sebagai hab logistik dan pemindahan penghantaran pilihan untuk pusat logistik dan pengedaran global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai mengenai kenaikan itu akan menyaksikan yuran pengendalian kontena menghampiri AS$120 (RM509.46) kepada AS$130 (RM551.13) setiap unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Ia melebihi caj di negara jiran ASEAN seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand, walaupun serupa dengan Singapura dan Hong Kong.

Mengulas mengenai dakwaan peningkatan itu boleh diterjemahkan kepada RM1.125 bilion dalam kos tahunan kepada industri pula, Subramaniam berkata, anggaran ini dilebih-lebihkan dan berdasarkan andaian yang salah.

“Ia secara salah mengandaikan bahawa semua volum kontena di Pelabuhan Klang akan tertakluk kepada peningkatan penuh, mengabaikan faktor utama seperti pelaksanaan berperingkat, tempoh penyimpanan percuma dan hakikat bahawa sebahagian besar volum adalah kargo pemindahan penghantaran yang harganya berbeza.

“Bagi dakwaan bahawa kos ini akan menyebabkan peningkatan eksponen dalam barangan pengguna, PKA juga menjelaskan bahawa berbanding kenaikan lain, caj pelabuhan adalah sebahagian kecil daripada jumlah kos yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna secara tidak langsung.

“Lazimnya, kontena 20 kaki dengan 20 tan kargo akan dikenakan kenaikan caj pengendalian pelabuhan sebanyak 0.45 sen sekilogram,” ujarnya.

Beliau berkata, semakan tarif terakhir telah dilakukan sedekad lalu dan dari segi kadar penyimpanan, ia kekal tidak berubah selama hampir enam dekad.

“Pada hanya RM4 setiap TEU (atau kurang daripada AS$1) sejurus sebelum semakan, kadar itu kekal tidak berubah sejak 1966 yang telah mengakibatkan salah satu faktor penyumbang terbesar kepada kesesakan akibat penggunaan pelabuhan sebagai pilihan penyimpanan jangka panjang kos rendah yang menyebabkan penggunaan kemudahan terminal pelabuhan yang tidak cekap.

“Caj yang disemak akan meningkatkan masa pusing ganti kargo dengan tidak menggalakkan penyimpanan jangka panjang dan mengurangkan kesesakan pelabuhan dan direka bentuk untuk meningkatkan kecekapan operasi,” jelasnya.

Tambahnya, pengguna pelabuhan yang memindahkan kontena dalam tempoh storan percuma yang diberikan tidak akan terjejas oleh peningkatan yang disasarkan ini.

“Kadar yang disemak mengambil kira penyelesaian logistik kontemporari yang tersedia dalam rantaian bekalan dan akan menyokong keperluan penyimpanan yang bertanggungjawab di dalam pelabuhan yang memudahkan keperluan lain yang produktif dan cekap,” ujarnya.-UTUSAN