PETALING JAYA: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan dalam Kabinet meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengharapkan keputusan sebaliknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa turut berkata, mandat parti lebih penting untuk reformasi walaupun mempunyai pilihan untuk kekal dalam Kabinet.
“Saya menyatakan bukan mudah untuk meninggalkan NRES. Selepas dua tahun, saya anggap pasukan di NRES, jabatan dan agensi dah mencapai tahap pasukan impian dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa.
“Tetapi keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan yang lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menyatakan harapan agar Nik Nazmi dapat meneruskan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Anwar berkata, beliau memberikan masa dan peluang untuk Ahli Parlimen Setiawangsa itu berfikir untuk kekal memikul jawatan berkenaan.
“Saya selalu tunggu dan beri peluang, (masa) untuk berfikir dan kalau boleh teruskan (tanggungjawab). Masih ada masa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis Perasmian Energy Asia 2025 semalam.
Nik Nazmi sebelum ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai ini.
Pengumuman itu kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini. – UTUSAN