PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa semua Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) menyelesaikan segala pertikaian atau permasalahan secara dalaman sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JKPS).
Jelas Hannah, JKPS yang diwujudkan sejak 2023 telah menerima 75 aduan pertikaian biasa yang boleh diselesaikan secara dalaman tanpa perlu dirujuk kepada jawatankuasa tersebut.
Katanya lagi adalah penting untuk setiap persatuan sukan mempunyai jawatankuasa perundangan masing-masing agar dapat memahami dengan lebih jelas terhadap segala permasalahan yang dihadapi.
“Jadi, sekiranya anda ingin mengambil peranan sebagai seorang pentadbir sukan dalam persatuan sukan, anda dan jawatankuasa anda perlu mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai proses-proses yang terlibat.
“Ini kerana kita tidak mahu berlaku situasi di mana seorang ahli jawatankuasa pergi ke pejabat Pesuruhjaya Sukan, seorang lagi datang ke pejabat menteri, seorang lagi pula berjumpa dengan Ketua Setiausaha (KSU). Inilah keadaan yang sedang kita hadapi sekarang,” katanya.
Hannah ditemui pemberita selepas mengumumkan pelantikan lima anggota JKPS yang baharu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027.
Dalam pada itu, Hannah turut berkata JKPS turut memberi cadangan agar Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan pusat sehenti kepada atlet untuk mengajukan sebarang persoalan dan permasalahan yang dihadapi untuk dikendalikan JKPS.
JKPS dipengerusikan Datuk Low Beng Choo turut dianggotai oleh Prof Dr Jady@Zaidi Hassim, Datuk M. Rajasekaran, Kimbeley Yap dan Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil.
Sementara itu, Beng Choo berkata daripada 75 aduan yang diterima oleh JKPS hanya 14 dirujuk kepada pihaknya dan dua kes telah menjalani proses pendengaran.
“Satu adalah pemilihan seorang atlet menyertai sebuah kejohanan dan satu lagi kes adalah aduan oleh seorang atlet mengenai layanan yang diterimanya semasa dia menyertai kejohanan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN