Northport, Infinity rai kepelbagaian kaum dengan seni mural

Perniagaan

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd dan Infinity Logistics & Transport Sdn. Bhd. melancarkan seni mural berskala besar di dinding Gudang D4, Northport Distripark Sdn. Bhd. (NDSB) sebagai simbol kerjasama strategik serta semangat kepelbagaian dalam persekitaran kerja moden.

Mural bertemakan ‘Kepelbagaian’ itu merupakan hasil karya artis tempatan, Dr. Caryn Koh, yang disiapkan dalam masa 13 hari, menggambarkan empat kakitangan daripada kedua-dua syarikat berlainan kaum dan peranan, digarap dalam susun atur yang harmoni dan bermaruah.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, mural berkenaan mencerminkan aspirasi untuk mewujudkan budaya kerja yang inklusif dan penuh semangat kebersamaan.

“Projek seni ini bukan sekadar memperindah ruang fizikal gudang, tetapi menyerlahkan komitmen bersama untuk memupuk suasana kerja yang harmoni, terbuka dan saling menghormati.

“Kakitangan adalah nadi utama industri logistik dan pelabuhan. Melalui karya seperti ini, kita menghargai sumbangan mereka yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Infinity Logistics, Datuk Seri Chan Kong Yew berkata, mural ini memberi penghormatan kepada warga kerja industri logistik yang saban hari memikul tanggungjawab besar memastikan operasi berjalan lancar.

“Setiap ekspresi dalam mural ini membawa maksud iaitu semangat dan ketabahan serta kerja keras dan kekuatan. Ia mewakili nilai-nilai yang dipegang oleh pekerja kami.

“Kami percaya seni boleh menyampaikan mesej yang kuat dan mendalam, malah ini adalah cara kami menghargai sumbangan mereka yang sering bekerja di sebalik tabir.

“Projek mural ini turut menyokong komitmen syarikat terhadap nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain memanfaatkan seni sebagai medium komunikasi berimpak tinggi dalam landskap industri logistik,” katanya.

Projek itu menggambarkan usaha berterusan Northport dan Infinity Logistics dalam menyokong bakat tempatan serta mengangkat elemen kreatif dalam sektor yang sering dilihat teknikal dan berorientasikan operasi.

Mural di Gudang D4 bukan sekadar hiasan visual, tetapi simbol budaya kerja yang menghargai insan, mengangkat kreativiti serta membentuk identiti korporat yang progresif dan berjiwa rakyat.-UTUSAN