Nazim, Firdaus juarai kategori Medal A PNAGS

Sukan

PETALING JAYA: Pemain golf amatur, Nazrin Kassim dan Mohd Firdaus Ahmad muncul juara kategori utama Medal A selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Kejohanan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2025 bagi Zon Timur.

Nazrin yang mewakili Kelantan mencatat skor kasar 75 di Kelab Golf & Country Kelantan dalam format strokeplay sekaligus dilantik sebagai ketua pasukan negeri ke Pusingan Akhir Kebangsaan, September ini.

Pemain handicap 4 itu mencatat dua birdie, 11 par dan lima bogey dan ia merupakan satu peningkatan besar selepas hampir tersingkir dalam pusingan kelayakan di Selangor, Johor dan Pulau Pinang sebelum ini.

Sementara itu, Firdaus yang beraksi di Kelab Golf Bukit Besi, Terengganu turut mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan dengan skor kasar 76, sekaligus menjuarai Medal A dan dilantik sebagai kapten pasukan Terengganu.

Juara bertahan itu turut merekodkan dua birdie, 11 par dan enam bogey di padang Par-72 itu dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Pemenang lain bagi kategori Medal B hingga E ialah Mohammad Azri Zakaria (Medal B, HCP 8) dengan skor kasar 81, Rusli Abdul Hamid (Medal C), Abdul Halim Omar (Medal D, HCP 17), dan Zahari Omar (Medal E, HCP 21).

Di Pahang pula, bekas juara World Amateur Golfers Championship (WAGC), Mohd Rizal Mohmad Sahibek memimpin pasukan negeri itu selepas muncul juara Medal A dengan skor nett 73 di Kelab Golf Diraja Pahang mengatasi tujuh pencabar lain dalam kategori itu.

Kejohanan PNAGS yang diiktiraf Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan disokong Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia menjadi satu-satunya laluan terus ke Pusingan Akhir Kebangsaan dan Kejohanan Dunia WAGC, sekaligus membuka peluang kepada pemain amatur beraksi di pentas antarabangsa.- UTUSAN