PETALING JAYA: Perkhidmatan transaksi Maybank kembali beroperasi sepenuhnya selepas mengalami gangguan melibatkan aplikasi mudah alih dan transaksi dalam talian.
Maybank dalam kenyataan memaklumkan, semua perkhidmatan telah disambung semula dan pelanggan kini boleh menjalankan urusan perbankan seperti biasa.
“Untuk maklumat lanjut atau bantuan, anda boleh menghubungi kami melalui e-mel di [email protected] atau hubungi kami di 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +603-78443696 (luar negara),” katanya.
Semalam, tinjauan di media sosial mendapati, orang ramai mendakwa tidak dapat membuat pemindahan wang, semakan baki, malah transaksi DuitNow dan pembayaran bil turut terjejas.
Malah mereka juga gagal melakukan pembayaran termasuk di restoran dan tempat meletak kenderaan di pusat membeli-belah. – UTUSAN