Honda sedia bangkit musim 2026

Sukan

LONDON: Pengarah Teknikal Honda, Romano Albesiano melaungkan amaran bahawa pasukannya itu dijangka kembali menjadi pencabar utama dalam saingan MotoGP musim depan.

Honda menunjukkan peningkatan ketara di bawah pimpinan Albesiano apabila memenangi satu perlumbaan walaupun dalam keadaan litar basah di Le Mans dan menaiki podium di Silverstone bersama Johann Zarco dalam lapan pusingan pertama musim ini.

“Bersaing untuk kejuaraan tahun depan? Sejujurnya, saya tidak tahu tetapi untuk bersaing memenangi perlumbaan, saya menjangkakan itu.

“Kami tidak mahu kelebihan dan mudah-mudahan kami akan kehilangannya pada akhir musim ini. Kami akan gembira jika kehilangannya,” kata Albesiano kepada MotoGP.com.

Jurutera dari Itali itu turut menjangkakan Honda akan membuat lebih banyak kemajuan dalam separuh kedua musim 2025 dengan beberapa kemas kini yang telah dirancang.

“Kami ada senarai yang agak padat mengenai perkara baharu yang akan dibawa pada penghujung musim ini. Anda akan melihat evolusi pantas pada jentera. Kami akan ada sesuatu daripada segi casis, enjin. Banyak pembangunan sedang berjalan,” katanya.

Albesiano turut berkongsi ketika mula-mula menyertai Honda, dia menggabungkan kaedah kerja eropah dan Jepun dalam pasukan tersebut.

“Apabila panggilan dari HRC datang, saya sangat teruja. Honda adalah pengeluar motosikal terbesar di dunia. Cara orang mendekati pekerjaan mereka adalah berbeza, ia adalah satu budaya yang berbeza.

“Sudah tentu, saya membawa pendekatan saya, katakanlah pendekatan Eropah dalam pembangunan dan ujian. Saya rasa ini bukan revolusi. Anda perlu ada semangat dan kreatif, ini sentiasa menjadi ciri Honda,” katanya. – AGENSI