PETALING JAYA: Tiga pemain negara iaitu Rachel Arnold, Aifa Azman dan Yee Xin Ying melakar sejarah apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, esok.
Satu slot final berada dalam genggaman Malaysia selepas pilihan pertama, Rachel akan bertembung dengan Aifa di peringkat empat terbaik setelah menyingkirkan lawan masing-masing pada suku akhir, hari ini.
Pemain No. 19 dunia, Rachel berada dilandasan terbaik untuk merangkul gelaran Asia pertamanya selepas membalas dendam ke atas Tong Tsz Wing dari Hong Kong menerusi kemenangan straight set 11-8, 11-8, 11-8 dalam masa 26 minit.
Tsz Wing merupakan juara edisi 2021 yang menyaksikan Rachel kempunan untuk mendakap kejuaraan sulung di pentas Asia, empat tahun lalu.
Esok, dia bakal bertembung dengan rakan senegara, Aifa yang mengejutkan pilihan ke-3/4, Lee Ka Yi juga dari Hong Kong 11-5, 11-7, 11-4 dalam masa 24 minit.
Seorang lagi wakil negara, Xin Ying yang menghuni ranking ke-59 dunia akan berdepan pemain No. 29 dunia, Tomato Ho Tze Lok yang menjadi wakil tunggal Hong Kong dalam satu lagi separuh akhir wanita.
Xin Ying, 21, yang dilahirkan di Sandakan, Sabah melakar kejutan ke atas rakan senegara, Aira Azman selepas menewaskan pemain yang berada di ranking ke-27 dunia itu 11-6, 12-10, 9-11, 11-8 dalam masa 42 minit.
Pilihan ke-3/4, Tomato pula bergelut untuk merebut tempat ke separuh akhir selepas dia dipaksa berhempas pulas selama 1 jam 11 minit sebelum menang ke atas pemain Malaysia, Noor Ainaa Amani Ampandi dalam aksi lima set 11-4, 9-11, 7-11, 11-7, 11-5.
Sementara itu, aksi suram menyelubungi kem Malaysia dalam saingan lelaki selepas dua pemain muda negara, Joachim Chuah dan C. Ameeshanraj terkandas di suku akhir.
Joachim yang berusia 20 tahun terpaksa akur kepada pilihan ke-3/4, Velavan Senthilkumar dari India 7-11, 6-11, 6-11 dalam masa 33 minit.
Turut kandas, Ameeshanraj, 21, yang belum mampu menandingi kehebatan pilihan pertama, Abdullah Al-Tamimi dari Qatar yang merupakan pemain No. 23 dunia selepas tewas 7-11, 9-11, 3-11 dalam masa 29 minit.
Kegagalan kedua-dua pemain itu menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi Ng Eain Yow buat kali ketiga berturut-turut selepas pemain No. 13 dunia itu menarik diri daripada bertanding pada edisi tahun ini. – UTUSAN