PETALING JAYA: Speedy Tigers perlu mengelak layangan kad kuning atau hijau ketika menentang Afrika Selatan bagi aksi klasifikasi lima hingga lapan Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Bekas pemain negara, Maninderjit Singh berkata, layangan kad kuning dan hijau dalam tiga perlawanan di peringkat kumpulan ternyata merugikan skuad kendalian Sarjit Sing, sekali gus memberi kelebihan kepada lawan.
“Ini pandangan saya kerana pengurusan kad memainkan peranan penting, apabila bermain di peringkat antarabangsa mustahak untuk kita ada setiap pemain di atas padang sebab 11 lawan 11 amat penting,” katanya.
Malaysia mengutip dua kad kuning ketika seri 3-3 dengan Pakistan, kemudian dilayangkan dua kad kuning dan satu kad hijau sewaktu tewas 4-3 kepada New Zealand, manakala menerima dua kad hijau ketika menundukkan Jepun 2-1.
Setiap layangan kad kuning menyebabkan pemain terlibat digantung selama lima hingga 10 minit manakala kad hijau dua minit daripada beraksi.
Maninderjit yang beraksi pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000 itu berkata, skuad hoki negara tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan Afrika Selatan.
“Sekarang kita tak capai sasaran (layak ke separuh akhir) jadi kita ada sasaran baharu daripada senario sekarang iaitu sekurang-kurangnya dapat tempat kelima terbaik sebab edisi lalu kita berada di nombor tujuh.
“Jadi, sekarang kita kena tewaskan Afrika Selatan. Setidak-tidaknya kita boleh main untuk penentuan tempat kelima dan keenam. Sekarang ini, itu sahaja pilihan yang ada. Tak dapat capai empat teratas paling tinggi boleh capai lima terbaik,” katanya.-UTUSAN