Harimau Malaya bakal sertai Piala CAFA?

Sukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menafikan atau mengiyakan penyertaan Harimau Malaya di Piala Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) yang dijadual berlangsung di Uzbekistan dan Kyrgyzstan dari 26 Ogos hingga 9 September depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau yang juga Exco FAM berkata, badan induk itu tidak menghalang sekiranya saingan Piala CAFA itu boleh memberi manfaat kepada prestasi skuad kendalian Peter Cklamovski.

“Jika ia satu kejohanan yang baik dan memberi manfaat kepada skuad kebangsaan, sudah tentu kita akan pertimbangkan.

“Tetapi semuanya mesti melalui perbincangan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis LaLiga Extra Time di sini, semalam.

Terdahulu, skuad negara berpeluang mencabar beberapa pasukan Piala Dunia apabila dikaitkan bakal menyertai saingan dwitahunan tersebut.

Antara pasukan yang akan bersaing adalah juara bertahan, Iran yang sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu.

Selain Iran yang menduduki ranking ke-18 dunia itu, Uzbekistan yang turut melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan juga akan menghangatkan saingan itu bersama Oman, Tajikistan, Turkmenistan, Kyrgyzstan dan Afghanistan.

Kali terakhir kejohanan Piala CAFA dilangsungkan ialah pada 2023 yang menyaksikan Iran muncul sebagai juara.-UTUSAN