PETALING JAYA: Sri Pahang FC mengucapkan selamat tinggal secara rasmi kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas sah tidak bertanding dalam kancah bola sepak profesional itu.
Perkara itu diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas skuad Tok Gajah yang menerima lesen kebangsaan 2025-26 memutuskan untuk tidak bertanding dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun.
Perkembangan itu, menyaksikan sebanyak 13 pasukan beraksi dalam musim baharu Liga Super yang bermula pada 8 Ogos.
“Senarai kelab yang akan beraksi merebut kejuaraan kali ini adalah Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC serta dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC,” kata MFL dalam satu kenyataan.
Kalendar Liga M musim ini akan bermula dengan pertembungan juara Liga Super, JDT dengan naib juara Liga Super, Selangor FC pada aksi Perisai Sumbangsih pada 8 Ogos yang juga perlawanan pembuka tirai liga di Stadium Sultan Ibrahim.
Sementara, pertandingan Piala FA pula akan bermula pada pertengahan Ogos ini dengan Piala Malaysia dan Piala Cabaran pula pada Januari 2025.-UTUSAN