PASIR PUTEH : Semua pihak diminta menunggu keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sebarang perubahan atau penyusunan semula Kabinet membabitkan kekosongan jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, keputusan berkaitan barisan Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri dan sebarang keputusan yang dibuat perlu dihormati semua pihak.
“Itu kena tunggu Perdana Menteri kerana beliau yang menyusun Kabinet. Saudara Rafizi (Menteri Ekonomi) sudah pun membuat keputusannya, jadi saya fikir kita kena hormati keputusan tersebut.
“Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pula masih bercuti, jadi kita tunggu beliau selesai bercuti dan kita lihat perkembangan seterusnya. Apa pun, saya fikir keputusan mengenai Kabinet itu adalah hak Perdana Menteri dan kita perlu menghormatinya,” katanya kselepas Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Kali Ke-68 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, di sini hari ini.
Shamsul Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sekiranya jawatan Menteri Ekonomi diberi kepada wakil UMNO untuk memperkasa Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN