PETALING JAYA: Pasukan karate negara berjaya membolot enam pingat emas dalam Kejohanan Karate Asia Tenggara (SEAKF) Ke-12 yang berlangsung di Brunei.
Kejayaan itu menyaksikan atlet negara menampilkan aksi cemerlang termasuk dalam acara kumite dan kata yang menyaksikan penguasaan Malaysia.
Antara wira negara ialah H. Sureeya Shankar, yang meraih pingat emas dalam acara Kumite Lelaki 60 kilogram(kg), sekali gus mengukuhkan kedudukannya selaku antara atlet terbaik rantau ini.
“Memenangi pingat emas ini satu kejayaan yang penuh membanggakan buat saya bercampur perasaan lega, syukur dan gembira.
“Segala usaha, disiplin diet dan persiapan mental akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia.
Tambah Sureeya, sebelum turun ke gelanggang, beliau menjadikan semangat untuk mewakili pasukan, jurulatih dan semua yang mempercayai dirinya sebagai pembakar semangat.
“Saya ingatkan diri, saya dah bersedia. Tugas saya cuma beri yang terbaik tanpa rasa takut,” katanya
Turut cemerlang ialah atlet wanita negara, C. Shamalarani yang mengungguli acara Kumite Wanita 50kg selepas menewaskan pencabarnya dari Vietnam di pentas final.
“Gembira dapat kembali ke podium juara selepas kali terakhir melakukannya pada 2022. Selepas meraih perak di peringkat Asia, saya mahu beri yang terbaik di kejohanan ini.
“Sebenarnya, perlawanan separuh akhir adalah final sebenar saya. Lawan saya itu merupakan pencabar utama saya sejak sekian lama, jadi memenangi pertarungan itu sangat penting,” katanya.
Dalam acara lain, S. Thevendran turut menyumbang emas buat Malaysia dalam acara Kumite Lelaki 55kg, manakala McRoyce Donavan Dagol meraih gangsa dalam kategori Kumite Lelaki 75kg.
Dalam acara berpasukan, skuad Kumite Berpasukan Lelaki Malaysia turut melakar kejayaan membanggakan apabila turut menghadiahkan emas buat Malaysia di samping Lovelly Anne turut menyumbang pingat gangsa menerusi acara Kata Individu Wanita, serta skuad Kata Berpasukan Lelaki yang turut menyumbang pingat gangsa.-UTUSAN