MACHANG: UMNO Kelantan mengajak rakyat menukar pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan lebih manfaat dapat dibawa masuk ke Kelantan.
Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Kelantan memerlukan perubahan supaya pembangunan di negeri tidak terus ketinggalan.
“Kita tidak boleh tunggu 15 tahun lagi untuk melihat perubahan dan rakyat mesti berani mencuba sesuatu yang baharu dengan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) memajukan negeri. Meskipun UMNO tidak memiliki satu kerusi Parlimen di Kelantan, perjuangan untuk rakyat di tidak pernah padam.
“Amat rugi apabila suara rakyat Kelantan tidak dapat diwakili di peringkat Parlimen, apatah lagi dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika UMNO Kelantan diberi mandat, kita mampu menjadi sebagai utusan suara rakyat di peringkat Kabinet dan nasional,” katanya selepas hadir pada Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Machang 2025 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Ahmad Jazlan berkata, UMNO tidak berputus asa sebaliknya mahu berusaha menawan negeri ini menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Rakyat perlu sedar kerana yang membangunkan negeri ini adalah daripada kerajaan Pusat. Rakyat perlu tahu BN) anya memerintah Kelantan selama 12 tahun iaitu pada 1978 hingga 1990.
“Maknanya, selama 46 tahun adalah di bawah pemerintahan Pas. Ketika itu yang membangunkan negeri ini adalah UMNO menjadi kerajaan Pusat. Walaupun tidak mentadbir, namun UMNO tetap membangunkan Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN