KUALA LUMPUR: Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Speedy Tigers turun dengan misi menamatkan saingan lima pasukan terbaik menemui jalan buntu dalam mencari kemenangan selepas gagal memanfaatkan peluang yang ada dan itu diakui sendiri oleh jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh.
“Perlawanan ini tidak mencapai apa yang kami inginkan. Saya rasa setakat ini, semua perlawanan sebelum ini adalah baik. Hari ini saya rasa kami bermain dengan perlahan.
“Walaupun kami mendahului 1-0, kami ada peluang untuk matikan perlawanan lebih awal tetapi kami tidak lakukannya. Maksud saya, bila peluang datang, kami perlu manfaatkannya,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Rhys Bradshaw menyamakan kedudukan pada minit ke-42 sebelum Gareth Furlong meledak gol kedua pada minit ke-50 dan Malaysia hampir menyamakan kedudukan namun jaringan Muhamad Faris Harizan dibatalkan selepas bola terkena kaki Fitri Saari.
Dalam pada itu, Sarjit turut mengakui berasa kecewa dengan kegagalan tersebut selepas sasaran awal yang diberikan iaitu layak ke separuh akhir turut tidak dicapai.
“Mestilah kecewa tapi seperti saya katakan kejohanan ini semua pasukan lebih kurang seimbang dan siapa yang ambil peluang pasukan itu akan menang.
“Saya maksudkan, kita memang ada peluang, pada suku pertama dan kedua tetapi kita tak ambil peluang itu. Jadi, kita biarkan mereka bangkit semula pada minit-minit terakhir,” katanya.
Sementara itu, Jepun menamatkan saingan kejohanan di tempat ketujuh selepas menewaskan Afrika Selatan 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan.
Sebagai rekod, Malaysia menamatkan kempen Piala Negara-Negara pada edisi lalu di tempat ketujuh. – UTUSAN