Pas masih perlukan idea pemikiran Abdul Hadi

Politik

PARIT: Pas masih memerlukan Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk mengetuai parti itu sebagai Presiden.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada isu mengenai kesihatan Abdul Hadi walaupun ada pandangan mengenai kewajaran menggantikannya atas faktor kesihatan.

Menurutnya, ini kerana bukan sahaja Pas tetapi dunia Islam masih memerlukan pandangan, idea dan kepimpinan Abdul Hadi.

“Pencapaian paling cemerlang di bawah kepimpinan Abdul Hadi termasuk menang 34 kerusi di Parlimen selain mentadbir beberapa negeri.

“Jadi tiada isu sangat mengenai kesihatan memandangkan beliau baru menjalani rawatan di IJN dan keadaan beliau sihat. Kita jangka dalam sehari dua ini mungkin beliau akan keluar daripada IJN.

“Justeru tiada sebab untuk Abdul Hadi mengundur diri termasuk mengambil alih peranan lain seperti penasihat parti dan sebagainya.

“Bukan kita hendak berlawan fizikal tetapi idea pemikiran, pengurusan dan sebagainya. Itu yang penting dan kita yakin beliau masih mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit di Seri Iskandar, di sini hari ini.

Menurutnya, Abdul Hadi masih diperlukan dalam dunia Islam kerana Presiden Pas itu merupakan tokoh paling senior dalam gerakan Islam di seluruh dunia.

Beliau berkata, Abdul Hadi menjadi rujukan termasuk dalam isu berkaitan konflik antara negara Iran membabitkan aliran mazhab Syiah dan Israel seperti yang berlaku ketika ini.

Katanya, sebagai contoh pendirian Abdul Hadi berkaitan antara Sunni dan Syiah supaya masyarakat Islam tidak terperangkap dengan tindakan musuh yang mahu melaga-lagakan sesama Islam.

“Beliau masih menjadi sumber rujukan kepada gerakan-gerakan Islam yang lain,” katanya.

Sebelum ini Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Difahamkan, Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat itu kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti baru-baru ini di Terengganu. – UTUSAN