PEKAN: Pergerakan Pemuda UMNO Pahang akan membawa usul berkenaan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada Ogos nanti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Kamil Ibrahim menyifatkan bahawa proses perundangan terhadap Najib dilihat sebagai tidak adil.
Katanya, sistem penghakiman negara perlu diteliti semula kerana keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini sudah jelas iaitu melepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri tersebut daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM27 juta.
“Yang pertamanya berkenaan titah adendum atau berkenaan pembebasan Datuk Seri Najib dengan kes yang beliau hadapi sekarang.
“Saya juga nak tegaskan sistem kehakiman kita mungkin perlu dirombak kerana kalau tengok balik sejarah atau track record yang berlaku kepada kes berkaitan SRC ni.
“Enam tahun. Secara logik akalnya, tak kan satu pun kertas pertuduhan atau dokumen tidak boleh disediakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di Dewan Al-Bukhary Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahaya Ahmad di sini hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa dibebaskan Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu atas alasan kes tersebut telah berlanjutan begitu lama dan pihak pendakwaan tidak bersedia untuk memulakan perbicaraan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Kamil berkata, Pemuda UMNO Pahang sekali lagi akan mengusulkan penubuhan sekretariat khas berkaitan isu pemilikan rumah dalam kalangan anak-anak muda.
“Saya pernah juga mencadangkan kepada Menteri Besar untuk menyediakan Rumah Pahang Generasi Muda dan ia merupakan perkara yang Pemuda Pahang perjuangkan juga,” katanya. – UTUSAN