PETALING JAYA: Sekolah Menengah Sains Mahmud Old Boys (SESMA OB) mencipta kejutan berganda apabila dinobatkan sebagai juara Liga Ragbi Terengganu 2025 selepas menewaskan Marang Rugby 24-14 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail pada Jumaat lalu.
Pasukan bekas pelajar SESMA itu turun dengan misi mempertahankan kedudukan kedua liga namun kejayaan memanfaatkan jurang jaringan memberi mereka kejuaraan mengejut.
Ketua jurulatih Mohd Nazri Mohd Ramli menggunakan pengalaman bekas kapten negara Mohamad Nasharuddin Ismail yang menyumbang empat penalti dan satu conversion dalam aksi penuh taktikal.
“Sejujurnya kami tidak menyangka untuk muncul juara melalui penentuan jumlah perbezaan kutipan mata melalui jumlah jaringan yang diperolehi.
“Kami hanya memfokuskan untuk meraih sebanyak mungkin kemenangan dalam setiap perlawanan walaupun hanya tewas dalam satu perlawanan sebelum ini,” kata Nazri.
Kemenangan itu menyaksikan SESMA OB berkongsi mata dengan Kemaman Rugby namun kelebihan jaringan sepanjang musim menjadi pemisah kedudukan.
Marang Rugby pula jatuh ke tangga ketiga selepas kekalahan itu sambil kedudukan kedua dirampas Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menewaskan RMP Terengganu 36-07.
Dalam pada itu, Nasharuddin turut dinobatkan penjaring terbanyak sementara rakan sepasukan Muhammad Haikal Ibrahim dan Mohd Harith Asyraff Rosid (Kemaman Rugby) menerima anugerah individu lain. – UTUSAN