Lebih banyak kejayaan Antonelli bakal menyusul

Sukan

LONDON: Juara dunia Formula 1 (F1) empat kali, Max Verstappen memuji Kimi Antonelli yang mempunyai kualiti hebat menjadikan pelumba muda Mercedes itu sebagai bintang masa depan.

Antonelli, 18, membuat penampilan sulung F1 yang dinanti-nantikan bersama Mercedes musim ini dan telah dibandingkan dengan kebangkitan pantas Verstappen sendiri dalam dunia perlumbaan.

Selepas meraih petak utama mengejutkan dalam kelayakan pecut di Miami bulan lalu, Antonelli sekali lagi mempamerkan pemanduan yang tenang di Kanada dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, melengkapkan kedudukan podium berganda untuk Mercedes bersama rakan sepasukan, George Russell.

Keputusan itu menjadikannya pelumba ketiga termuda dalam sejarah F1 yang menaiki podium di belakang Verstappen dan pelumba Aston Martin, Lance Stroll.

Verstappen mengikuti perkembangan Antonelli sejak zaman go-kart, percaya pelumba dari Itali itu bukan sahaja pantas secara semula jadi tetapi matang daripada usianya.

“Bagi saya, ini bukan satu kejutan. Saya kenal Kimi sejak dia dalam dunia go-kart, orang ramai sudah bercakap perkara hebat tentangnya. Jadi saya memang perhatikan dia.

“Apa yang mengagumkan ialah dia memang laju secara semula jadi. Apa yang saya suka ialah pendekatan dia yang tenang dan berfikiran waras. Itu adalah kualiti hebat untuk dimiliki. Saya tak pernah ragu-ragu bahawa podium akan datang tahun ini.

“Dia mengalami beberapa perlumbaan yang malang, salah satu daripadanya dalam perlumbaan pecut juga salah saya kerana hentian pit tapi memang hanya soal masa saja. Dalam beberapa tahun akan datang, kita pasti akan lihat lebih banyak daripada Kimi,” katanya. – AGENSI