PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus cemerlang di pentas Eropah dan menjadi anak Malaysia pertama melakar prestasi konsisten dengan tujuh podium.
Prestasi cemerlang itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu mengungguli saingan Piala RedBull MotoGP Rookies selepas mengumpul 148 mata bagi musim 2025.
Semalam dalam pusingan keempat di Litar Mugello, Itali, anak muda berusia 17 tahun itu muncul naib juara selepas hanya dipisahkan 0.011 saat di belakang pemenang perlumbaan 2 iaitu Veda Pratama dari Indonesia yang mencatat masa terpantas 26 minit 44.347 saat (s).
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Sepanyol, Benat Fernandez yang melakar masa 26: 44.415s, manakala, pesaing terdekat Hakim Danish, Brian Uriarte menamatkan aksi di tangga kelima, ketinggalan +0.250s di belakang Veda.
Uriarte kini berada di kedudukan kedua dalam carta selepas mengutip 116 mata dan hanya dipisahkan 32 mata di belakang Hakim Danish, sementara Veda yang cemerlang di Muggello apabila menjuarai perlumbaan 1 dan 2 melonjak ke tangga ketiga dengan 92 mata keseluruhan.
Keputusan tempat kedua yang dicatat anak jati Terengganu itu juga menebus kehampaan
Hakim Danish yang sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dalam perlumbaan 1, kelmarin.
Hakim Danish ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali menjejakkan kaki ke podium.
“Saya gembira dengan keputusan, hari ini (semalam), saya kembali ke podium selepas saya
melakukan kesilapan strategi dalam perlumbaan 1.
“Jadi, hari ini saya benar-benar seronok dan berusaha keras bagi memastikan saya tidak hilang kedudukan lagi,” katanya.
Kata Hakim Danish, banyak laluan lurus yang panjang di Litar Mugello dan dia berusaha untuk mengawal persembahannya sebaik mungkin.
“Persaingan sangat sengit untuk saya meraih kemenangan, saya berjanji akan terus mempamerkan persembahan konsisten dan terus bekerja keras dalam perlumbaan akan datang,” katanya.
Selepas ini, Piala RedBull MotoGP Rookies akan beralih ke Litar Sachsenring, Jerman pada 12-13 Julai dan Hakim Danish perlu mengekalkan prestasi konsisten untuknya merebut tempat ke Moto3 secara merit di dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.-UTUSAN