KUALA TERENGGANU: Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin baik dan menunjukkan perkembangan yang positif selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), minggu lalu.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Abdul Hadi kini berada dalam fasa pemulihan di pusat rawatan tersebut.
Katanya, beliau berpeluang menziarahi Ahli Parlimen Marang itu baru-baru ini dan bersyukur kerana proses pemulihan Abdul Hadi berjalan lancar dengan tanda positif.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja sebenarnya melihat prosedur yang dijalani Tan Sri berjalan dengan baik dan proses pemulihan beliau juga sangat lancar dan cepat.
“Proses pemulihan beliau sangat memberangsangkan dan doktor yang merawat beliau juga ada beritahu yang proses recovery (pemulihan) beliau agak luar biasa dalam masa yang singkat.
“Insya-Allah, selepas ini beliau mampu untuk kembali melaksanakan tugas tidak lama lagi,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Persidangan East Coast Energy (ECE) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, Abdul Hadi masih berada di bawah pengawasan rapi pasukan perubatan dan proses rawatan diteruskan mengikut pelan pemulihan yang ditetapkan oleh pakar kesihatan.
“Namun, dalam usianya dan keperluan rawatan yang khusus, kita perlu beri ruang secukupnya untuk beliau benar-benar pulih (sebelum bertugas seperti biasa),” katanya.
Mengulas mengenai prosedur rawatan yang tidak dimaklumkan secara terbuka sebelum ini, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil untuk menghormati privasi keluarga serta memastikan proses rawatan tidak terganggu.
“Kita kena faham, kalau lokasi dinyatakan secara terperinci, sudah tentu ada orang yang datang menziarah, ambil gambar dan lain-lain. Ini boleh mengganggu proses rawatan dan privasi keluarga. Ini bukan soal mahu merahsiakan.
“Malah, dua atau tiga hari sebelum prosedur dijalankan, anak Tuan Guru (Dr. Muhammad Khalil) pun ada mengeluarkan kenyataan memohon semua pihak agar mendoakan kesihatan ayahnya. Jadi, kita perlu minimumkan gangguan supaya proses rawatan dan pemulihan itu berjalan lancar,” katanya.
Ditanya mengenai jenis prosedur yang dijalankan, beliau berkata, perkara tersebut tidak boleh didedahkan kerana melibatkan privasi keluarga dan hanya mereka yang layak akan memaklumkannya kepada khalayak umum.
“Setiap orang ada hak peribadi masing-masing. Jadi, perkara itu lebih sesuai dijawab oleh pihak keluarga,” katanya.
Terdahulu, Dr. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, menyatakan mengenai prosedur rawatan yang akan dijalani Presiden Pas pada 17 Jun lalu dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan serta kesihatan buat bapanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi pernah menerima rawatan di IJN beberapa kali atas faktor kesihatan dan memerlukan pemantauan secara berkala oleh pakar perubatan. – UTUSAN