KUALA LUMPUR: Ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2028 dengan fasa satu dipercepatkan bagi memberi laluan kepada Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, bagi melancarkan pembinaan ibu pejabat baharu yang dikenali Rumah Olimpik satu ikatan strategik di antara badan induk itu dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dilakukan.
“Kalau kita tengok daripada segi pembinaan ia akan mengambil masa 36 bulan jadi, kalau kita kira daripada (tarikh) kelulusan, katakanlah kita dapat pada hujung tahun ini.
“Jadi, kena kiralah, hujung 2028. Fasa satu kita mungkin percepatkanlah, sebab itu kolabrasi ini penting. Kalau kita tak bersama dengan PSM, kita mungkin ada jurang, kita nak semua pihak berada di garis masa yang sama.
“Ada dua fasa pembinaan namun kita sasar untuk siapkan fasa pertama secepat mungkin. Kalau boleh siap menjelang Sukan SEA namun ia tertakluk kepada tarikh penganjuran.
“Kalau tarikh Sukan SEA awal tahun atau tengah susahlah kita jadi, saya fikir kita kena realistik daripada segi pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hari Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Norza turut memberitahu projek bernilai RM97 juta itu dijadual melakukan majlis pecah tanah pada hujung Julai ini.
“Kita sudah dapat lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan PSM malah daripada situ kita akan mulakan penghantaran (dokumentasi) kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur),” katanya. – UTUSAN