Alcaraz sedia pertahan kejuaraan Wimbledon

Sukan

LONDON: Carlos Alcaraz memberi amaran awal kepada pencabar Wimbledon selepas mempertahankan gelaran di Kejohanan Tenis Queen’s meskipun hanya sempat berlatih dua hari di gelanggang rumput.

Pemain No. 2 dunia itu menewaskan wakil Republik Czech, Jiri Lehecka 7-5, 6-7(5), 6-2 dalam final kelmarin, sekali gus meraih kejuaraan ketiga berturut-turut selepas Roland Garros dan Rom Masters.

“Saya datang ke sini tanpa jangkaan tinggi, hanya mahu bermain dua atau tiga perlawanan.

“Tapi saya cepat sesuaikan diri dengan rumput dan sangat bangga dengan itu,” kata Alcaraz.

Alcaraz menjadi pemain Sepanyol ketiga selepas Rafael Nadal dan Feliciano Lopez yang memenangi empat gelaran di gelanggang rumput sepanjang karier.

Beliau tidak sempat ‘lari’ ke Ibiza, Sepanyol kali ini seperti selepas kejuaraan di Paris, Perancis namun berazam berehat secukupnya di London, England sebelum misi mempertahankan gelaran Wimbledon yang bermula 30 Jun ini.

“Ramai tanya saya bila mahu ke Ibiza semula, saya jawab saya memang perlukan hari untuk diri sendiri, untuk kosongkan fikiran.

“Selepas kalah di Miami, saya sangat kecewa, tapi percutian bersama keluarga buat saya sedar semula tentang apa yang paling penting dalam hidup saya, nikmati tenis,” katanya. – AGENSI