MUGELLO: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez menyifatkan adiknya, Alex Marquez antara pencabar paling sukar yang pernah dihadapi sepanjang kariernya.
Alex sedang menikmati musim terbaiknya pada musim ini selepas meraih kemenangan sulung di Jerez, satu kemenangan dalam perlumbaan pecut di Silverstone serta lapan kali menamatkan saingan di tempat kedua.
Selepas sembilan pusingan musim ini, Alex hanya ketinggalan 40 mata di belakang pendahulu kejuaraan, iaitu abangnya sendiri, Marc.
Marc meraih kemenangan berganda di Grand Prix (GP) Itali hujung minggu lalu melebarkan kelebihannya dalam kedudukan keseluruhan namun begitu, dia mengakui bahawa ketika sedang berada di salah satu tahap terbaik dalam kerjayanya, Alex tetap mampu mengekori rapat.
“Saya maksudkan, sebagai pelumba pasukan pengeluar, anda memang tertekan untuk bersaing dalam kejuaraan, lebih-lebih lagi jika anda menunggang Ducati kerana itu motosikal terbaik di grid.
“Kemudian, Alex pula menunggang jentera versi sebelumnya dan dalam pasukan pengeluar Ducati, kami cuba memperkenalkan beberapa komponen baharu untuk meningkatkan kelebihan ini.
“Tetapi walaupun begitu, Alex menunggang dengan sangat laju dan saya ingin katakan, dan saya perlu katakan, ini baru sembilan perlumbaan dalam musim ini, tetapi saya sedang melalui detik terbaik dalam kerjaya saya dan Alex masih berada di situ.
“Jadi, ini bermakna dia adalah antara pencabar paling sukar yang saya pernah hadapi kerana dia sangat konsisten, sangat laju dan mempunyai keseimbangan yang baik di semua litar. Buat masa ini, saya sedang menikmati detik manis untuk keluarga Marquez,” kata Marc. – AGENSI