Haris Kasim, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu Glomac

Perniagaan

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Glomac Berhad melantik Datuk Haris Kasim sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu berkuat kuasa 20 Jun lalu.

Glomac berkata, Haris mempunyai berpengalaman luas dalam kepimpinan korporat merentas sektor perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan dengan pengalaman lebih 40 tahun.

“Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, termasuk Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Air Selangor dan Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan pengerusi di beberapa entiti strategik antaranya Kumpulan Perangsang Selangor (KPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Central Spectrum (M) Sdn. Bhd., Selgate Hospital Rawang dan Worldwide Entech Sdn. Bhd.,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam pada itu, syarikat berkata, Haris kali terakhir berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dari 2021 hingga Januari lalu.

“Glomac yakin pelantikan beliau mampu membawa pandangan dan bimbingan yang bernilai sekali gus mengukuhkan tadbir urus syarikat serta menyokong pertumbuhan berterusan sebagai antara pemaju hartanah terkemuka di negara ini.

“Glomac turut menzahirkan penghargaan dan berbesar hati menyambut kehadiran Haris ke dalam Lembaga Pengarah syarikat bagi bersama-sama merealisasikan matlamat memberikan nilai mampan kepada pemegang kepentingan dan komuniti,” ujarnya.-UTUSAN