PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kadar inflasi 1.2 peratus pada Mei 2025, kadar terendah dalam tempoh 51 bulan dengan mata indeks mencatatkan 134.4 berbanding 132.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, trend inflasi rendah yang direkodkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka adalah selari dengan inflasi bagi negara-negara terpilih yang turut mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan pada Mei 2025.
Ini seperti seperti Eurozone (1.9 peratus), Korea Selatan (1.9 peratus), Indonesia (1.6 peratus) dan Philippines (1.3 peratus) yang selaras dengan penurunan harga minyak dunia.
DOSM dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) Mei 2025 berkata, sektor perlombongan merupakan penyumbang utama kepada penurunan ini iaitu negatif 17.8 peratus (Mac 2025: -15.0 peratus), disebabkan oleh penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8 peratus).
Sementara itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat perlahan 2.1 peratus pada Mei 2025 (April 2025: 2.3 peratus).
“Ini didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Mei 2025 berbanding April 2025 yang meningkat 0.5 peratus.
“Meskipun begitu, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya.
“Selain itu, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan & perkhidmatan, 3.7 peratus; pendidikan, 2.2 peratus; perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain; rekreasi, sukan & kebudayaan, 0.9 peratus dan minuman alkohol & tembakau, 0.6 peratus turut meningkat perlahan pada Mei 2025.
“Dalam pada itu, kumpulan pengangkutan (0.7 peratus) dan insurans & perkhidmatan kewangan (1.5 peratus) meningkat pada kadar yang sama direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, DOSM berkata, terdapat kumpulan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding April 2025 iaitu restoran & perkhidmatan penginapan, 3.0 peratus; kesihatan, 1.1 peratus dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, 0.2 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, 59.7 peratus item (342 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.
“Namun begitu, daripada jumlah tersebut, 330 item (96.5 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala 12 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Mei 2025.
“Sementara itu, 180 item (31.4 peratus) menunjukkan penurunan dan 51 item kekal tidak berubah dan sedikit sebanyak mengekang inflasi daripada terus meningkat lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, inflasi pengangkutan kekal meningkat 0.7 peratus bagi tempoh empat bulan berturut-turut.
“Walaupun subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam mencatatkan peningkatan 1.3 peratus (April 2025: -2.8 peratus), namun ia diimbangi dengan peningkatan lebih perlahan subkumpulan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian kepada 0.6 peratus pada Mei 2025 berbanding 0.9 peratus pada April 2025,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, 11 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.2 peratus dengan Kelantan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.3 peratus pada Mei 2025.
“Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (1.8 peratus), Negeri Sembilan (1.6 peratus), Selangor (1.5 peratus), Melaka (1.5 peratus) dan Kuala Lumpur (1.4 peratus).
“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman. Peningkatan ini dicatatkan oleh Negeri Sembilan iaitu 3.4 peratus, diikuti oleh Putrajaya (3.1 peratus), Selangor (2.9 peratus), Terengganu (2.6 peratus), Kuala Lumpur (2.6 peratus), Johor (2.4 peratus), Labuan (2.4 peratus), Melaka (2.3 peratus) dan Sabah (2.1 peratus).
“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional bagi makanan dan minuman (2.1 peratus) pada Mei 2025,” ujarnya.-UTUSAN