AMD perlu agresif lahir bakat berkualiti

Sukan

PETALING JAYA: Pembaharuan segera perlu dilakukan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi membolehkan lebih ramai bintang bola sepak berkualiti dapat dilahirkan.

Akademi itu masih berada dalam landasan tepat dan miliki hala tuju jelas iaitu membekal pemain-pemain tempatan, namun prestasi mereka belum berada di tahap cemerlang.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim tidak menafikan kewujudan AMD sebagai pusat kecemerlangan dengan mengumpulkan pemain muda terbaik.

Namun begitu, sehingga kini belum ada lagi lepasan AMD yang mampu ‘memecah’ pasaran Asia, malah dalam saingan Liga Super juga mereka gagal menyerlah.

“Sudah tentu pusat ini menjadi kemuncak berkumpulnya pemain-pemain cemerlang seluruh negara untuk dibentuk menjadi pemain bertaraf dunia, itu pada asal penubuhannya.

“Namun, tidak dapat juga dinafikan kebanyakkan graduan AMD tidak begitu menyerlah malah tidak dapat menjadi bintang sebenar dalam liga tempatan kita.

“Tidak seperti mana yang diwar-warkan walaupun ada yang bermain dalam liga. Sudah tentu fenomena ini mengurangkan peluang pemain tempatan menyarung jersi Harimau Malaya.

“Pemain tempatan perlu meningkatkan prestasi dan belajar dari pemain warisan supaya mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Untuk rekod, akademi itu setakat ini telah melahirkan enam generasi kumpulan pemain, di mana kelompok pemain dibarisi Luqman Hakim Shamsudin merupakan produk pertama AMD.

Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), menyifatkan program AMD tidak gagal tetapi masih belum berjaya sepenuhnya.

Jelasnya, dengan tertubuhnya AMD, sepatutnya skuad muda negara mampu mencipta kejayaan di peringkat Asia, namun sehingga kini kejayaan tersebut belum kunjung tiba.

“Saya tidak mahu katakan AMD gagal, namun saya lebih suka mengatakan ia belum begitu berjaya, walaupun sudah beberapa ‘batch bergraduat’ sejak penubuhannya.

“Saya suka sekiranya pemegang kuasa penuh AMD mengaji semula objektif program dan model pelaksanaannya ke arah kejayaan yang lebih gemilang supaya kita tidak lagi perlu menaturalisasikan pemain satu hari nanti untuk pasukan Harimau Malaya,” jelasnya.-UTUSAN