PARIS: Pelumba Portugal, Joao Almeida menebus kekecewaan tahun lalu apabila merangkul kejuaraan keseluruhan Jelajah Switzerland 2025 selepas aksi dominan dalam ujian masa pendakian sejauh 10.1 kilometer (km), semalam.
Almeida daripada pasukan UAE Team Emirates mengakui hampir memusnahkan peluang sendiri apabila memulakan kayuhan terlalu agresif sebelum mengawal semula rentaknya.
“Saya rasa saya mula terlalu laju.Saya harap ada cukup tenaga untuk pecut akhir, tapi rupanya tak perlu pun,” kata Almeida.
Pelumba berusia 26 tahun itu menewaskan pencabar utama Kevin Vauquelin dari Perancis dengan jurang 1 minit 40 saat (s) dan muncul juara keseluruhan dengan kelebihan 1:07s.
“Kadang-kadang benda tak menjadi, tapi jangan pernah putus asa. Kami terus mencuba dan akhirnya berjaya,” katanya.
Ia adalah kemenangan peringkat kedua berturut-turut buat pelumba No. 6 dunia itu yang kini bersedia menyokong juara bertahan Tour de France yang juga rakan sepasukannya, Tadej Pogacar pada kejohanan paling berprestij itu hujung bulan ini.
“Saya akan nikmati kemenangan ini, kemudian bersedia bantu Pogacar di Tour de France,” ujarnya.
Dalam pada itu, pencabar muda dari Scotland, Oscar Onley mencuri tumpuan dengan kedudukan ketiga keseluruhan selepas hanya ketinggalan 51s di belakang Vauquelin yang terlepas peluang menjadi juara Perancis pertama sejak 2007. – AGENSI