Rehat lama boleh ganggu prestasi beregu negara

Sukan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui ‘tempoh rehat’ hampir lima minggu tanpa sebarang kejohanan boleh mengganggu prestasi pemainnya.

Selepas berakhirnya Terbuka Indonesia pada 8 Jun lalu, tiada kejohanan disertai oleh kem negara sehingga aksi seterusnya di Terbuka Jepun yang bermula pada 15 Julai depan.

“Minggu tanpa kejohanan ini kita guna untuk memperkasakan semula fizikal mereka. Lepas dari Terbuka Indonesia memang kita beri pemain rehat tiga hingga empat hari.

“Minggu pertama ini kita guna untuk kembalikan kondisi mereka. Seperti menaikkan otot dan fizikal mereka,” kata Herry kepada pemberita pada sesi latihan di ABM, Bukit Kiara.

Herry mengakui rehat panjang mampu menyebabkan penurunan prestasi, namun menegaskan usaha mengekalkan kecergasan fizikal dan kekuatan mental tetap menjadi keutamaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa mengekalkan prestasi pada separuh kedua musim jauh lebih sukar kerana corak permainan beregu negara kini sudah mula dibaca pihak lawan.

“Memang ada turun sikit (prestasi) selepas rehat. Tapi saya rasa tak seberapa turun banyak. Kita akan memperkuatkan semula kondisi mereka.

“Sekarang semua negara tengok pemain kita, intip semua dari video. Jadi kita harus siap dan sedia jauh lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Dengan hanya satu bulan lagi sebelum ke Jepun, Herry berharap momentum yang dibina mampu diteruskan meskipun tanpa sebarang kejohanan sepanjang Jun dan awal Julai.- UTUSAN