KUALA LUMPUR: Kronologi Asia Berhad, penyedia teknologi dan penyelesaian pengurusan data perusahaan hibrid dan awan di Asia mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) 4.7 peratus kepada RM1.51 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berbanding RM1.44 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disumbang oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi dengan margin keuntungan yang kekal stabil sepanjang tempoh dilaporkan.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Edmond Tay Nam Hiong berkata, kumpulan juga mencatatkan hasil sebanyak RM59.25 juta, meningkat 2.6 peratus atau RM1.50 juta berbanding suku sama tahun kewangan sebelumnya.
“Sebahagian besar hasil kumpulan terus disumbangkan oleh pasaran Singapura, China dan Filipina dengan jumlah keseluruhan RM47.64 juta atau 80.4 peratus daripada keseluruhan hasil.
“Dari segi segmen perniagaan, teknologi infrastruktur pengurusan data perusahaan (EDM) kekal menjadi penyumbang utama dengan hasil RM41.98 juta atau 70.8 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil, sejajar dengan prestasi tahun kewangan lalu.
“Baki disumbangkan oleh perkhidmatan EDM As-A-Service,” katanya pada sesi kemas kini korporat dan taklimat media syarikat itu di sini.
Beliau berkata, prestasi tempahan hasil dan kejayaan memperoleh pelanggan baharu pada suku ini selaras dengan jangkaan perniagaan kumpulan secara keseluruhan.
Bagaimanapun, katanya, cabaran operasi melibatkan rantaian bekalan dan ketidakpastian tarif terus memberi kesan kepada prestasi syarikat pada suku tersebut.
“Keadaan ini mengakibatkan tunggakan seperti dijangka, namun kami berjaya mengekalkan margin keuntungan.
“Strategi perniagaan kumpulan kekal tertumpu pada inisiatif pertumbuhan berkeutamaan tinggi, khususnya dalam platform data kecerdasan buatan (AI) dan aliran kerja data berprestasi tinggi.
“Kami juga terus melaksanakan transformasi perniagaan dan inisiatif kecekapan operasi bagi meningkatkan prestasi kewangan dan melonjakkan pendapatan pada masa depan,” katanya.
Mengulas mengenai prospek tahun kewangan 2026, beliau berkata, walaupun berdepan cabaran makroekonomi, syarikat kekal sederhana optimis mencatat pertumbuhan pada tahun kewangan 2026 berbanding prestasi tahun lalu.
Katanya, pasaran ketika ini menunjukkan pemulihan yang tidak sekata dan terdapat banyak ketidaktentuan termasuk tarif, sekatan perdagangan dan sekatan cip.
“Kami menjangkakan pemulihan sederhana bagi tahun kewangan 2026. Namun, syarikat berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan trend pertumbuhan sekular seperti peningkatan penggunaan teknologi AI dalam pendigitalan berasaskan data dan teknologi awan hibrid.
“Model perniagaan berasaskan ‘As A Service’, ‘Bayar Mengikut Penggunaan’ dan langganan pula disokong oleh pertumbuhan hasil berulang dua digit setiap tahun.
“Selain itu, nilai besar terletak pada portfolio perniagaan yang pelbagai serta liputan geografi yang meluas, dengan segmen berasaskan data, perkhidmatan ‘As-A-Service’ dan kepelbagaian pasaran menjadi pemacu utama pertumbuhan,” katanya.
Tambahnya, syarikat komited untuk terus menjana nilai kepada pemegang saham, seterusnya memberi impak positif kepada prestasi kewangan kumpulan dan pulangan kepada pelabur.-UTUSAN