MONTREAL: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menegaskan bahawa kempen Formula 1 (F1) pasukannya bagi musim 2025 tidak sepatutnya digambarkan sebagai mengejutkan walaupun mereka masih gagal meraih sebarang kemenangan tahun ini.
Walaupun Scuderia bersaing rapat dengan McLaren untuk gelaran pengeluar sehingga perlumbaan terakhir F1 musim 2024, akhirnya tewas dengan hanya 14 mata, Ferrari tidak lagi bersaing secara konsisten di barisan hadapan tahun ini dengan jentera SF-25.
Jurang yang semakin melebar antara kedua-dua pasukan tahun ini berpunca terutamanya daripada lonjakan prestasi besar McLaren pada musim sejuk lalu, namun Ferrari juga ketinggalan di belakang Mercedes dan Red Bull dalam beberapa perlumbaan.
10 daripada 24 perlumbaan telah berlangsung, Ferrari masih belum mencatatkan sebarang kemenangan dengan Leclerc sekadar meraih tiga podium setakat ini manakala pendatang baharu Lewis Hamilton tidak pernah menamatkan saingan lebih tinggi daripada tempat keempat.
Sebaliknya, McLaren dan Red Bull telah mendominasi kemenangan perlumbaan manakala kejayaan mengejut Mercedes di Kanada telah melonjakkan mereka ke tempat kedua dalam kedudukan pengeluar mengatasi Ferrari.
Leclerc mengakui keputusan setakat ini mengecewakan tetapi menolak anggapan bahawa prestasi Ferrari adalah suatu bencana dan dia percaya pasukannya perlu belajar daripada McLaren untuk merapatkan jurang ke barisan hadapan.
“Saya rasa tiada seorang pun daripada kami yang berpuas hati dengan keadaan semasa, itu jelas. Kami memulakan musim ini dengan harapan untuk mencabar McLaren dan Red Bull bagi merebut kejuaraan namun itu belum berlaku setakat ini.
“McLaren telah membuat lonjakan besar berbanding tahun lepas, jauh melebihi pasukan lain dan jika kita bandingkan diri kita dengan pesaing lain selain McLaren, musim kami tidaklah terlalu teruk.
“McLaren sedang melakukan kerja yang luar biasa dan kami sama sekali tidak gembira dengan situasi kami sekarang tetapi kami hanya perlu mencari identiti kami semula, sama seperti Mercedes dan Red Bull yang juga perlu mencari rahsia kejayaan besar yang telah ditemui McLaren,” katanya. – AGENSI