Lima pasukan mara ke pusingan ketiga WCGC

Sukan

PETALING JAYA: Sebanyak lima pasukan pemain golf amatur tempatan layak ke pusingan ketiga kejohanan Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) Malaysia yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Club, di sini semalam.

Kejohanan anjuran Enotech itu menampilkan empat pusingan kelayakan dan pusingan kelayakan ketiga bakal berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club pada 22 Julai ini.

Enotech dalam kenyataan berkata, pusingan kedua kejohanan itu dimulai dengan seramai 124 peserta dari pelbagai sektor korporat dan diakhiri dengan lima pasukan yang layak mara ke pusingan ketiga.

PARA pemenang merakam kenangan manis bersama hadiah masing-masing.

“Pasangan dari Seng Haw Timber Sdn. Bhd., Tay Cher Haw dan Liew Vin Sern muncul juara dengan kutipan 49 mata dalam format Two Ball Best Ball Stableford.

“Naib juara disandang pasangan Mohd. Azmi Mahmud dan Azhar Husain dari MG Synergy dengan 46 mata, manakala tempat ketiga milik Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat dan Mohd. Adib Ibrahim dari Widad Skycore (M) Sdn. Bhd. yang meraih 45 mata menerusi kiraan countback.

“Dua lagi pasangan yang turut mengesahkan tempat ke final kebangsaan ialah Muhammad Feyyaz dan Amirul Adli Senu dari Feyyaz Sports Group serta Muhammad Firdaus Said dan Mohd. Azwan dari Sinar Jernih Sdn. Bhd., masing-masing juga mencatat 45 mata,” katanya.

Katanya lagi, pusingan akhir kebangsaan dijadualkan berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club pada bulan September ini, sebelum dipilih untuk mewakili Malaysia ke pusingan akhir dunia di PGA Anying Golf Club, Shanghai, China dari 19 hingga 23 Oktober. – UTUSAN