SHAH ALAM: Seramai 260 pemain menyertai Kejohanan Golf Trofi Mazda 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Glenmarie di sini baru-baru ini.
Acara tahunan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu jemputan dan ahli di mana pemain yang terdiri daripada ahli kelab Glenmarie beraksi di lapangan Garden, sementara peserta jemputan di lapangan Valley.
Bagi kategori jemputan, Mohd. Azmie Lahad (handicap 24) dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan mencatatkan 59 mata.
Tempat kedua dimenangi oleh Nur Ain Qistina (73 mata, handicap 3) diikuti Mohd. Rozi Jidin di tempat ketiga (77 mata, handicap 5).
Kategori ahli kelab pula dimenangi oleh Ricky Yim Chun Pong (62 mata, handicap 19) diikuti Takuya Osaki (62 mata, handicap 3) di tempat kedua dan Johnson Jee Chau Hau (78 mata, handicap 5) di tempat ketiga.
Juara bagi setiap kategori membawa pulang hadiah AEON baucer bernilai RM1,000 dan trofi, tempat kedua baucer AEON bernilai RM600 manakala tempat ketiga menerima baucer AEON bernilai RM400.
Kejohanan tersebut mula dibuka untuk pendaftaran pada awal Mei lalu sebelum ditutup tidak lama kemudian selepas menerima penyertaan penuh. – UTUSAN