Zaharuddin nafi hina Datuk Johnny

Politik

PETALING JAYA: Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad menafikan dakwaan bahawa hantarannya di Facebook dengan memaparkan tangkap layar penganugerahan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral adalah satu penghinaan.

Sebaliknya, beliau berkata, gambar penganugerahan Eng Seng di dalam hantaran itu hanyalah gambar hiasan yang tiada kaitan dengan penulisannya dalam hantaran sama.

“Maksud tulisan saya ialah untuk menyedarkan masyarakat bahaya Malaysia My Second Home (MM2H) di mana hari ini pembeli akan beli dan mendiami rumah tersebut. Apabila berlaku kelahiran, maka tidak mustahil mereka akan minta kerakyatan dan selepas 20 tahun mereka akan minta hak mengundi. 

“Jika bangsa asing ini masuk secara terancang, sebagaimana Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada tahun 2058, PM (Perdana Menteri) Malaysia adalah di kalangan anak kelahiran bangsa asing ini. Ini hujah utama saya. Boleh baca balik tulisan saya yang saya lampirkan tanpa prejudis,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, gambar pemasyhuran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbangsa Cina di dalam hantaran yang telah dipadam itu tidak sama sekali secara tersurat mahu pun tersirat bersifat menghina atau merendahkan.

Katanya, pelantikan bukan Melayu atau Bumiputera dalam ATM adalah perkara biasa tetapi tidak untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu.

“Itu maksud asal saya. Tak ada dalam tulisan itu saya kata ‘seperti bukan Melayu dalam ATM”, “Datuk Johnny Lim Eng Seng adalah contoh naturalisasi’. Tak ada secara eksplisit (tersurat) mahu pun implisit (tersirat),” katanya.

Sebaliknya, Zaharuddin yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu berkata, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan seangkatan dengannya yang menuduhnya mengecam pelantikan tersebut.

“Bagi saya, apabila Steven Sim Chee Keong sebut saya mengecam perlantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng adalah prejudis. Mungkin dalam kepala mereka, mempertahankan Malaysian Malaysia yang memperjuangkan PM untuk bangsa bukan Melayu dan mereka juga tahu saya antara orang yang kuat menentang. 

“Atas prejudis ini, apabila mereka melihat saya kepilkan gambar hiasan itu, mereka terus tafsir ikut prejudis mereka. Mungkin mereka faham bahawa, “saya menentang pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebab ini juga naturalisasi.” 

“Padahal saya dah sebut jelas bahawa “gambar di bawah adalah hiasan. Tiada kaitan dengan berita di atas”,” katanya.

Pada masa sama, Zaharuddin mendakwa, hantaran itu terpaksa dipadamnya selepas diserang cybertrooper dan bukannya kerana takut akan implikasi perundangan.

Beliau juga akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap sebuah portal berbahasa Inggeris yang didakwa memutar belitkan kenyataannya dan melihat jika ada ruang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Steven Sim. – UTUSAN