Perkhidmatan perbankan harian tidak terjejas perluasan cukai

Perniagaan

PETALING JAYA: Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) meyakinkan orang ramai bahawa peluasan skop cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa 1 Julai 2025 ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan perbankan asas yang biasa digunakan oleh orang awam.

Menurut ABM, Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), ini melibatkan perkhidmatan perbankan asas yang melibatkan yuran atau komisen seperti yang berkaitan akaun semasa (akaun cek), akaun simpanan atau akaun berkaitan termasuk e-wallet.

“Perkhidmatan ini termasuk yuran yang dikenakan ke atas deposit tunai, pengeluaran, pembayaran atau pemindahan dana tempatan dan pengeluaran kad debit dan yuran tahunan berikutnya.

“Turut tidak terlibat adalah transaksi asas yang dilakukan di cawangan bank atau pengeluaran wang automatik (ATM) seperti pembayaran bil, pencetakan penyata akaun semasa atau simpanan,” katanya dalam kenyataan.

Persatuan berkata, ini dianggap perkhidmatan perbankan penting dan kekal di luar skop untuk tujuan cukai perkhidmatan.

“Yuran tahunan yang dikenakan ke atas kad kredit/caj juga akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan. Faedah/keuntungan dan penalti atau caj punitif lain tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan.

“Pengecualian di atas bertujuan untuk memastikan aktiviti perbankan harian untuk pengguna individu kekal tidak terjejas oleh pengembangan cukai perkhidmatan,” ujarnya.

Sementara itu, persatuan berkata, skop cukai perkhidmatan diperluas untuk perkhidmatan kewangan secara amnya akan digunakan untuk pengurusan dana, perkhidmatan berkaitan perbankan pelaburan dan perdagangan serta perkhidmatan berkaitan pembiayaan perdagangan.

Tambahnya, di bawah fasa 1, skop cukai perkhidmatan yang diperluaskan yang berkuat kuasa 1 Julai ini akan dikenakan hanya kepada perkhidmatan perbankan perbendaharaan, korporat dan pelaburan terpilih seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A Panduan Cukai Perkhidmatan mengenai Perkhidmatan Kewangan

Jelasnya, semua bank di bawah ABM, AIBIM dan MIBA komited untuk bersikap telus dan jika cukai perkhidmatan dikenakan, caj akan ditunjukkan dan pelanggan akan dimaklumkan dengan jelas

“Jika pelanggan tidak pasti tentang kesan skop cukai yang diperluas ini dan memerlukan penjelasan lanjut, sila hubungi terus bank anda. Pasukan perkhidmatan pelanggan bersedia untuk memberikan penjelasan dan sokongan yang diperlukan jika diperlukan.

“Kami menghargai perhatian orang ramai terhadap perkara ini dan kami tetap komited untuk komunikasi terbuka dengan pelanggan.

“Industri perbankan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan peralihan ini dikendalikan dengan jelas dan bertanggungjawab,” ujarnya.-UTUSAN