Malik rangka strategi terbaik Norliyana ke sukan SEA

Sukan

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi wanita negara, Norliyana Kamaruddin akan menjalani pemantauan rapi selepas pulih daripada kecederaan lutut serta buku lali bagi mengelak sebarang risiko menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Jurulatihnya, Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata, Norliyana akan menyertai empat kejohanan kompetitif tahun ini sebagai medan menguji kemampuan serta meningkatkan keyakinan selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Katanya, kejayaan Norliyana meraih pingat emas menerusi lompatan 1.75 meter pada Kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini adalah petanda positif, sekali gus menjadi tonik buat atlet berusia 26 tahun itu.

“Fokus utama kami adalah memastikan Norliyana benar-benar bersedia untuk Sukan SEA. Tahun lalu, kami beri tumpuan penuh kepada proses pemulihannya.

“Kejayaan di Thailand jelas menunjukkan dia kembali ke landasan yang betul. Apa yang lebih penting sekarang ialah mengembalikan keyakinan dan membiasakan dirinya semula dengan suasana pertandingan.

“Kita tidak mahu terburu-buru kerana kecederaannya sebelum ini cukup serius,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, kelmarin.

Tambah Malik, selain aspek teknikal, kekuatan mental Norliyana turut diberi penekanan bagi mengelak tekanan berlebihan yang boleh menjejaskan persiapan atau mengundang semula kecederaan.

Mengulas cabaran di Sukan SEA nanti, beliau mengakui atlet tuan rumah, Thailand, menjadi pencabar utama berdasarkan rekod semasa mereka yang mampu melepasi ketinggian antara 1.80m hingga 1.83m.

Bagaimanapun, dengan rekod peribadi 1.82m milik Norliyana, beliau percaya peluang untuk memberi saingan tetap terbuka sekiranya segala persiapan berjalan lancar.

“Buat masa ini, sasaran kita adalah untuk dia konsisten melepasi 1.76m hingga 1.78m dalam beberapa kejohanan akan datang. Kalau dia mampu capai semula tahap 1.80m, potensi untuk menang sentiasa ada.

“Segalanya bergantung kepada prestasi dan kekuatan mental pada hari pertandingan. Jika dia berada di tahap terbaik, saya yakin dia mampu mencipta kejutan,” jelasnya.-UTUSAN