Jangan berlagak menjadi ‘hero’ – Sultan Selangor

Perniagaan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengajak umat Islam menjauhi sifat angkuh dan menyambut tahun baharu Hijrah 1447 de­ngan jiwa yang segar serta hati yang suci.

Baginda bertitah, umat Islam hendaklah menjauhi sifat sombong kerana ia bukan tanda kekuatan, sebaliknya merupakan kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Janganlah kita berlagak menjadi ‘hero’ atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain. Sikap angkuh ini hanya mencemarkan keikhlasan dalam perjuangan. Jadilah insan yang rendah hati, kerana kemuliaan di sisi Allah hanya milik mereka yang bertakwa.

“Dalam menegur pula, amalkanlah adab dan kebijaksanaan. Janganlah teguran berubah menjadi penghinaan, dan nasihat bertukar menjadi cercaan. Tegurlah saudara kita dengan penuh kasih sayang, kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk memperbaiki. Teguran yang lahir dari hati yang jujur akan meresap ke hati yang bersih,” titah baginda dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1447, semalam.

Sultan Sharafuddin bertitah, Maal Hijrah bukan semata-mata peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, malah ia melambangkan kekuatan iman, pengorbanan, kesabaran dan usaha menyatukan hati-hati yang berbeza demi memperjuangkan kebenaran.

“Beta menyeru agar rakyat tidak lagi bertelagah antara satu sama lain. Usahlah kita berbalah hanya kerana perbezaan pandangan atau kecende­rungan. Islam mengajar kita bahawa kekuatan umat itu lahir daripada kesatuan, bukan perpecahan.

Jangan kita biarkan api kebencian dan dendam memusnahkan keharmonian yang kita bina selama ini.

“Lebih mendukacitakan, budaya mengadu domba, menyebar fitnah dan mencerca sesama sendiri semakin menjadi kebiasaan. Ini bukanlah akhlak seorang muslim. Rasulullah mengajar kita agar menjaga lisan, kerana lidah yang tajam adalah lebih parah dari mata pedang.

“Hentikanlah budaya saling menjatuhkan dan mencari salah. Marilah kita menyemai budaya saling menasihati de­ngan lembut dan berhemah, agar hati tidak terluka dan ukhuwah tetap terpelihara,” nasihat baginda. – UTUSAN