PETALING JAYA: Skuad bola sepak wanita mahu membuka kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan berdepan Palestin pada aksi pertama Kumpulan H dengan kemenangan.
Keputusan positif dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir dengan kemenangan menjadi motivasi tinggi buat pasukan Malayan Tigress.
Kapten pasukan wanita negara, Steffi Sarge Kaur mengakui pasukan terkuat dalam Kumpulan H adalah Korea Utara di mana mereka adalah juara dunia bawah 17 tahun pada 2024 manakala Palestin dan Tajikistan turut memiliki kekuatan tersendiri.
Jelasnya, dia meletakkan sasaran untuk memenangi dua perlawanan dalam saingan kumpulan itu bagi memastikan skuad negara layak ke peringkat seterusnya.
Steffi menyedari semua lawannya itu bukan mudah untuk ditewaskan, namun dia yakin dengan perancangan jurulatih, Joel Cornelli dan prestasi positif dimiliki pasukan mereka mampu melakukan kejutan.
“Pasukan paling kuat dalam kumpulan itu adalah Korea Utara kerana mereka adalah juara Piala Dunia Wanita bawah 17 tahun dan sudah tentu ada beberapa pemain itu berada dalam skuad senior.
“Kita akan berusaha keras dan beri aksi terbaik untuk memenangi dua perlawanan iaitu berdepan Palestin esok (hari ini) dan Tajikistan pada Khamis. Dua aksi ini kami perlu cari kemenangan.
“Motivasi pemain berada di tahap terbaik selepas memperolehi dua keputusan positif pada aksi persahabatan berdepan UAE sebelum ini. Kami mahu meneruskan momentum kemenangan pada aksi berdepan Palestin dan seterusnya,” kata Steffi kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Selain Palestin, pasukan wanita kebangsaan juga akan turun bertemu Tajikistan pada 3 Julai dan Korea Utara pada 5 Julai dalam misi layak ke Piala Asia Wanita 2026 di Australia pada Mac tahun hadapan.-UTUSAN