PETALING JAYA: Tiga perenang muda Muhammad Dhuha Zulkifly, Goh Li Jie dan Chong Xin Lin menunjukkan potensi besar untuk terus menyerlah di pentas antarabangsa selepas masing-masing menyumbangkan pingat dalam Kejohanan Akuatik SEA Age Group 2025 di Singapura, baru-baru ini.
Jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson, berkata, kejayaan Dhuha dan Goh Li Jie yang masing-masing meraih pingat perak dan emas dalam acara 200 meter gaya bebas serta 100 meter kuak kupu-kupu membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat pelapis.
“Dhuha dan Li Jie adalah bakat besar. Mereka enam tahun lebih muda daripada (perenang senior) Khiew Hoe Yen, jadi masa akan menentukan sama ada mereka mampu mencapai tahap sehebatnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Selain itu, Xin Lin turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat perak dalam acara 200 meter kuak lentang.
“Karier Xin Lin pernah terhenti seketika beberapa tahun lalu sebelum kami mula bekerjasama. Kini dia bukan sahaja pemegang rekod Malaysia tetapi juga rekod SEA Age.
“Masa depan amat cerah buatnya. Namun seperti biasa, masa akan menentukan segala-galanya, tetapi dia bekerja keras untuk berada di tahap terbaik,” jelas Anderson.
Dalam pada itu, Anderson turut mengakui terdapat tekanan besar buat atlet negara kerana kejohanan di Singapura itu menjadi pentas terakhir mereka untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Remaja di Romania Ogos ini.
“Memang jelas ramai yang gementar kerana ini adalah peluang terakhir mereka untuk layak ke World Junior,” katanya.
Untuk rekod, dalam acara 200m gaya bebas lelaki kategori 16-18 tahun, Dhuha meraih perak dengan catatan 1 minit 52.47 saat di belakang perenang Vietnam, Nguyen Quoc Tran Van yang merekodkan 1:51.92s.
Sementara itu, Li Jie muncul juara acara 100m kuak kupu-kupu dengan catatan 55.64s, manakala Xin Lin meraih perak dalam acara 200m kuak lentang dengan kepantasan 2:23.69s.
Kejohanan tiga hari itu menyaksikan perenang muda dari seluruh rantau bersaing merebut tempat ke kejohanan peringkat dunia yang bakal berlangsung di Romania tidak lama lagi.-UTUSAN