‘UMNO tidak terhegeh-hegeh rayu siapa-siapa kembali’

Politik

TANGKAK: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga berpendapat sama ada penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditarik semula ataupun tidak perlu diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Kata beliau, Ahli Parlimen Sembrong itu perlu membuat permohonan kepada parti supaya tindakan penggantungan keahliannnya itu ditarik semua, itupun jika masih berminat menyertai UMNO.

“Beliau (Hishammuddin) perlu menulis surat jika mahu kembali (kepada UMNO). Dia pergi kita tidak halau, hendak kembali semula ke parti juga kita tidak jemput. Hendak balik semula (UMNO), perlu tulis surat.

“Keputusannya pula terserah kepada MKT yang punya kuasa untuk memendekkan hukuman. Sebagai contoh penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin (Abdul Rahman), beliau datang minta tolong dengan saya, saya kata tulis surat kepada parti untuk buat rayuan.

“Ya..dia tulis surat dan diluluskan di mana penggantungannya ditarik balik. Tiada masalah pun, jangan jadi bodoh sombong. Kita (UMNO) tidak terhegeh-hegeh hendak rayu siapa-siapa kembali ke parti, ” katanya. 

Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan kuasa kepada MKT UMNO untuk membuat keputusan berhubung usul UMNO Bahagian Sembrong mengenai penggantungan Hishammuddin.

Katanya, walaupun tiada sebarang permohonan rayuan yang diterima sehingga hari ini, namun MKT masih boleh membuat keputusan tersebut jika usul tersebut dibawa ke dalam majlis berkenaan selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO.

Hishammuddin sebelum ini digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan MKT UMNO. – UTUSAN