SPIELBERG: Harapan Max Verstappen untuk mencipta sejarah di Litar Red Bull lebur selepas dia terpaksa menarik diri seawal pusingan pertama dalam Grand Prix (GP) Austria, hari ini.
Juara dunia empat kali itu berlanggar dengan pelumba Mercedes, Kimi Antonelli sebaik sahaja perlumbaan bermula, sekali gus menyaksikan penamat pertamanya musim ini tanpa sebarang mata.
Verstappen yang bermula di petak ketujuh berkata melalui radio pasukan: “Saya tersingkir, saya kena hentam teruk.”
Antonelli, pelumba muda dari Itali yang bermula di petak kesembilan pula mengakui kesilapannya melanggar Verstappen.
“Maaf, saya terkunci di bahagian belakang,” kata Antonelli kepada jurutera pasukannya menerusi radio.
Insiden itu memutuskan rentetan 31 perlumbaan berturut-turut Verstappen mengutip mata sejak musim lalu.
Ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Red Bull Ring nyata kecewa dengan penarikan juara bertahan tersebut.
Perlumbaan itu sendiri bermula lewat susulan kereta Carlos Sainz terbakar selepas terhenti di grid sebelum pusingan formasi dimulakan. – AGENSI