PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin optimis pasukan bawah 18 (B-18) mampu mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-18 di China pada 3 hingga 13 Julai ini.
Nor Saiful dipertanggungjawabkan untuk memantau skuad B-18 negara yang kini di bawah bimbingan Mohd. Sufian Mohamad berkata, selepas melihat senarai pencabar dia optimis dengan kemampuan pasukan kebangsaan.
“Di atas kertas, pasukan yang ambil bahagian, saya fikir kita boleh mara ke separuh akhir dan kalau kita main dengan baik kita boleh pergi ke final. Itu sasaran saya untuk pasukan.
“Kita tak tahu kekuatan (lawan) tapi kita tahu daripada segi pembangunan di negara mereka, India adalah pasukan No. 1 kerana mereka ada banyak perancangan manakala pasukan lain saya belum nampak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Pusat Latihan Hoki Kebangsaan Dazhou, China itu menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Taiwan dan Uzbekistan.
Kumpulan A pula dibarisi oleh Bangladesh, China, Hong Kong, Pakistan dan Sri Lanka. – UTUSAN